Menurut Pakar Mata Hospital Ampang Puteri, Dr. Rozita Ahmad, tidak ramai yang mengetahui bahawa silau yang dihadapi berpunca daripada dua faktor.
“Kebanyakan silau berpunca daripada astigmatism manakala yang lain berpunca daripada keradangan atau jangkitan pada mata,” jelasnya.
Astigmatism berkait rapat dengan penglihatan menjadi kabur pada semua jarak yang disebabkan oleh permukaan kornea atau kanta tidak sekata.
Apabila keadaan ini berlaku, ia akan menyebabkan pesakit melihat imej yang tidak jelas dan pecah-pecah terutama cahaya pada waktu malam.
Tambah Rozita, astigmatism yang sedikit atau kurang daripada 0.50D biasanya tidak mengganggu penglihatan.
“Namun, sekiranya ia lebih, ia boleh menyebabkan sakit kepala, mata letih dan silau yang kronik. Apabila ini terjadi, pembetulan kornea atau kanta harus dilakukan seperti pemakaian cermin mata atau kanta sentuh khas,” ujarnya.
KEADAAN kornea pesakit rabun silau (kiri). Dengan daya penglihatan yang kabur, ia menyukarkan pesakit terutama memandu pada waktu malam.
Rozita memberitahu, rabun silau boleh berlaku serentak dengan rabun dekat atau rabun jauh dan penyebab kejadian rabun jenis tersebut adalah pelbagai.
Antara faktornya ialah keturunan, kecederaan kornea mata, berlaku selepas pembedahan mata seperti pembuangan selaput katarak, ketumbuhan pada kelopak mata atau penyakit kornea seperti keratoconus.
“Bagi pesakit kencing manis, astigmatism bukanlah satu perkara luar biasa. Ia dikenali sebagai renticular astigmatism, kandungan gula yang berlebihan mampu mengubah bentuk kanta pesakit.
“Bagi pesakit diabetes yang mengalami rabun silau, mereka dinasihatkan agar tidak menjalani pembedahan terlebih dahulu,” katanya.
Bukan fotofobia
Dalam pada itu, Rozita menjelaskan, rabun silau boleh terjadi pada semua peringkat umur. Penghidap akan menyedari masalah astigmatism yang dihadapi apabila berasa tidak selesa terhadap cahaya terutama bagi mereka yang selalu memandu di waktu malam.
Namun ujar Rozita, terdapat perbezaan yang jelas antara mereka yang mengidap astigmatism dan fotofobia.
“Melalui pemeriksaan penglihatan, ujian permukaan kornea dan pantulan, pakar mata akan mengetahui sama ada pesakit tersebut mengalami rabun silau atau fotofobia,” terang Rozita.
Di samping itu, berbeza dengan penghidap jenis rabun yang lain, kadar peningkatan kerabunan mata bagi pengidap astigmatism amat perlahan dan lebih stabil.
PERMUKAAN kornea pesakit astigmatism (kiri) yang berntuk seperti bola ragbi dan tidak sekata.
Dipetik dari : .: KOSMO :. 3 Mac 2012
No comments:
Post a Comment